PENYUMBANG dua pingat gangsa, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, ingin melupakan peristiwa pahit yang melanda dirinya susulan kontroversi yang menyebabkan pingat emas dalam acara keirin dan pecut yang sepatutnya menjadi miliknya bagaikan dirompak.

Kini, dia hanya ingin memfokuskan persiapan menjelang saingan Sukan Olimpik Paris yang diklasifikasikan lebih mencabar.

Elemen paling penting adalah persediaan daripada segi mental harus diperkuatkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada kejohanan itu nanti.

"Saya hanya mahu melihat ke hadapan. Berehat selama seminggu sebelum kembali mula membuat persiapan menghadapi Sukan Olimpik," katanya menerusi Nadi Weekend.

"Saya mahu kembali memperkuatkan lagi jisim otot, tahun 2024 bakal menghadirkan saingan yang sangat penting dan berharap untuk melakukan sesuatu buat Malaysia."

Sementara itu, trio berbasikal wanita negara, Nurul Izzah Izzati menganggap kejayaan meraih pingat gangsa acara pecut berpasukan wanita merupakan sesuatu yang tidak terlintas pada akal fikirannya.

Lebih manis lagi, apabila dia berjaya memecahkan rekod baharu kebangsaan dengan catatan 49.02s.

"Pingat yang dimenangi di Hangzhou di luar jangkaan saya dan rakan sepasukan. Ia adalah persembahan yang terbaik kami tampilkan," kata Nurul.